Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Kawasan pergunungan simpan khazanah alam semula jadi serta pelbagai flora dan fauna
PEMANDANGAN indah di Skyway Katoomba
BLUE MOUNTAINS adalah satu daripada tempat paling menarik di Australia. Terletak pada jarak 104 kilometer di Barat Sydney, pergunungan itu adalah sebuah kawasan yang mempunyai daya tarikan dan panorama eksotik lagi mengagumkan. Ia juga dikenali sebagai Australia's Grand Canyon dengan bentuk rupa buminya dikatakan mirip Grand Canyon di Arizona, Amerika Syarikat.
Kawasan ini berada dalam lingkungan Taman Negara seluas kira-kira 200,000 hektar yang berpusat di Katoomba. Lokasinya menjadi tumpuan pelancong yang ingin melihat dari dekat bentuk rupa bumi kawasan terbabit terutama Grand Canyon. Perjalanan ke Blue Mountains dengan bas dari Sydney mengambil masa kira-kira dua jam.
Di kawasan Blue Mountains juga terletak tiga gunung yang dikenali sebagai Three Sisters atau tiga beradik perempuan yang menjadi ditukar menjadi batu.
Mengikut cerita, disebabkan terikat dengan adat dan peraturan nenek moyang, seorang ahli sihir menukarkan tiga anak perempuannya yang cantik menjadi batu. Tiga beradik dikenali sebagai Meenhi, Weemala dan Gunnedoo dari suku Katoomba yang tinggal di Lembah Jamieson dikatakan mempunyai hubungan dengan tiga wira gergasi dari suku Napean.
Berdasarkan asal keturunan, mereka tidak dibenarkan berkahwin mengikut undang-undang masyarakatnya. Namun begitu, jejaka terbabit tidak mempedulikan undang-undang berkenaan dan ingin memperisterikan perawan tiga beradik itu secara paksa.
TIGA gunung di kawasan Blue Mountains dikatakan mitos mengenai tiga beradik perempuan yang ditukar menjadi batu.
Hasrat mereka ditentang oleh kumpulan yang ingin mempertahankan adat resam dan undang-undang berkenaan hingga terjadi peperangan yang hebat.
Bagi menjaga keselamatan ketiga-tiga perawan itu daripada peperangan, bapa mereka yang juga ahli sihir menukar tiga gadis terbabit kepada batu. Apabila peperangan tamat mereka akan ditukarkan semula kepada bentuk asal. Hasrat itu tidak kesampaian apabila ahli sihir berkenaan terkorban dalam peperangan. Sebab itulah sehingga kini tidak ada siapa yang boleh menukarkan semula ketiga-tiga beradik itu kepada bentuk asalnya.
Akhirnya tiga adik beradik yang amat cantik paras rupa mereka kekal menjadi batu berbentuk tiga gunung yang terletak bersebelahan antara satu sama lain buat selama-lamanya, di kawasan Blue Mountains.
Dari versi pengkaji dan penganalisis geografi fizikal dan ahli geologi pula menjelaskan muka bumi tiga gunung itu terbentuk kerana berikutan luluhawa yang memakan masa sejak ratusan ribu tahun lamanya.
Walau melalui proses apapun, mitos mahupun lulu hawa, keindahan, keeksotikan dan keunikan Blue Mountains dan Three Sisters cukup mengasyikkan dan mengagumkan. Ia menjadi antara pusat tumpuan pelancong berteraskan eko-pelancongan yang tersohor di bumi kangaru itu.
Pada 2000 lalu, taman negara ini diletakkan di dalam senarai Kawasan Warisan Dunia (World Heritage Area).
Pengunjung boleh meneroka dengan merentasi dan menghayati ketakjuban fenomena ciptaan Maha Pencipta ini dengan menaiki skyway. Pengunjung juga boleh menyusuri celah dan ruang di dasar atau lantai Blue Mountains dengan menaiki railway' yang disediakan. Suatu pengalaman yang sukar dijelaskan dengan perkataan.
Satu lagi khazanah alam yang menjadi tumpuan pengunjung di sini ialah Gua Jenolan. Ia adalah sebuah gua batu kapur yang amat menarik. Pengunjung berpeluang menerobos ke dalam gua dan merasai fenomena alam semula jadi yang sungguh mengasyikkan.
Untuk menyertai ekspedisi ini, pengunjung perlu tangkas dan cergas. Kasut dan topi khas akan disediakan. Kawasan taman negara ini sebenarnya banyak menyimpan khazanah alam semula jadinya termasuk air terjun, lembah, cerunan, batu-batan berjeriji, hutan hujan dan pelbagai flora dan fauna.
INFO: Blue Mountains
-Kawasan hutan sepanjang 40 kilometer di pergunungan ini terbakar selama 16 hari, antara 26 Disember 2001 hingga 10 Januari 2002.
-Pekan Leura dan Katoomba menjual pelbagai bahan makanan dan minuman untuk bekalan di kawasan pergunungan.
-Pelancong Jepun adalah yang paling ramai berkunjung ke kawasan pergunungan berkenaan, malah ramai yang menginap di hotel serta pusat penginapan yang ada di pekan Katoomba dan Leura.
-Kebanyakan pemandu pelancong warga Australia yang membawa pelawat ke situ boleh berbahasa Jepun, bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan pelancong dari negara matahari terbit itu.
-Harga rumah di Blue Mountains jauh lebih murah iaitu $150,000 dolar Australia berbanding S460,00 dolar Australia di Sydney, walaupun jaraknya cuma satu setengah jam perjalanan melalui jalan darat.
wallahua'lam......
siapa yang berminat untuk ke sini(^_^)
sungguh indah ciptaan Allah....subhanallah....
0 sahabat:
Post a Comment